Antara Anak-anak, Kerja Rumah & Kerja 'Pejabat'

by Thursday, June 12, 2008 1 comments
Salam.

Pukul 3 pagi ... letih sungguh hari ni! Sepanjang siang melayan ragam anak-anak & malam hari pula membuat hanya sebahagian daripada timbunan kerja-kerja website. Maklumlah, setiap pelanggan mahukan laman web mereka siap ASAP. Sebenarnya berjaga melewati 12 pagi bukan asing bagi seseorang programmer walaupun bujang. Tetapi bezanya programmer bujang dengan programmer@mama seperti saya, siang hari tidak diisi (selain kerja) dengan pekena teh dengan member-member, bermain gitar atau qada' tidur, tetapi mengurus, melayan dan mengajar anak-anak, memasak, menguruskan laundry, mencuci, mengemas, dan macam-macam lagi. Kalau lapar, bukan boleh beli aje nasi bungkus, tapi kena masak & bagi makan anak-anak sekali. Kemudian perlu kemas dapur pula, sambil anak #4 menarik baju minta didukung, anak #3 bergaduh dengan anak #2 (seorang merengek & seorang mengadu), dan anak #1 bercerita tentang mimpinya semalam dengan penuh terperinci hingga saya hanya mampu mengangguk kepala dan berkata 'wow', 'i see, i see' tanpa mengetahui apakah ceritanya sebenarnya!

Selepas melalui zaman bekerja & zaman surirumah sepenuh masa, memang saya rasakan kehidupan bekerja dari rumah adalah paling ideal! Tetapi cukup banyak misconception tentang bekerja dari rumah ini - ramai yang menyangka kerja dari rumah adalah tidak memenatkan berbanding kerja di luar ... dok rumahlah katakan, apatah lagi empunya padan kelihatan santai melayan anak-anak menonton TV, seperti tiada kerja. Jangan percaya mata anda ... kerana ketika mata orang lain sedang tutup & tidur lena, ketika pekerja pejabat merehatkan kepala yang dah migrain, ketika surirumah sepenuh masa merehatkan badan yang dah sengal-sengal urat, ketika itulah orang seperti saya masih bersengkang mata, menahan penat seharian untuk menyiapkan kerja-kerja 'pejabat' yang tak sempat-sempat dikerjakan di siang hari. Malah ada hari-hari tertentu, saya hanya mampu tidur selepas Subuh, dan perlu bangun 8 pagi untuk menyiapkan anak-anak ke tadika. Dah gila apa?

Saya pernah bekerja pejabat, ulang-alik ke Site, terpaksa bekerja overtime hingga waktu bersama keluarga di hujung minggu pun terkorban apabila terpaksa buat kerja melalui laptop di rumah. Percaya atau tidak, ia tidak sePENAT menjadi surirumah. Paling kritikal apabila anda tiada pembantu rumah, anak-anak masih kecil & jurang usia antara mereka amat kecil. Menjadi surirumah sepenuh masa sudah cukup mencabar, tetapi apabila separuh masa surirumah, separuh lagi bekerja dari rumah ... anda pasti terdesak untuk mengklonkan diri anda!



Apapun saya cukup lega dengan persepsi masyarakat kini yang semakin positif terhadap mereka yang bekerja dari rumah seperti saya (walaupun masih ada yang melihat wanita bekerja pejabat lebih berstatus tinggi berbanding yang bekerja dari rumah, apatah lagi surirumah sepenuh masa). Sebetulnya surirumah sepenuh masa tidak wajar dipandang rendah, walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi sekalipun. Mengapa? Kerana cabaran mereka mengurus rumahtangga dan anak-anak adalah perjuangan yang tidak semua wanita korporat mampu tangani!

Sementara para ahli korporat berjuang di medan kerja berhadapan dengan karenah orang yang pelbagai, surirumah pula berjuang di rumah, berhadapan dengan karenah anak-anak yang memerlukan ketahanan mental & fizikal yang tinggi! Menguruskan kanak-kanak yang kurang faham, tidak matang dan belum cukup didikan dan pengalaman menuntu kesabaran yang bukan calang-calang. Sebab itulah saya tidak pernah merendah-rendahkan walau guru tadika sekalipun berbanding professor universiti, kerana walaupun mereka hanya mengajar ABC, tugas mereka menuntut skil pengurusan manusia yang tahap kesukarannya tersendiri.

Anak-anak menangis, meminta-minta, rumah bersepah, pergaduhan & kecederaan merupakan hal-hal yang walau kelihatan kecil & remeh, jika dihadap berhari-hari di dalam keadaan tidur & rehat yang tidak cukup, boleh menyebabkan anda naik angin sehingga menitiskan air mata kerana tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Saya pernah menangis dua jam sebelum menduduki peperiksaan MIT kerana anak kecil saya asyik merengek & menutup buku saya berulang-kali, meminta saya agar usah belajar, sebaliknya 'look at ME, mama!' ... Saya telah masuk ke bilik peperiksaan di dalam keadaan tak bersedia. Tetapi Allah itu Maha Pemurah ... terdetik di hati saya untuk merujuk satu helaian buku rujukan beberapa minit sebelum masuk bilik peperiksaan, dan lebih kurang 30% daripada soalan kertas ujian umpama salinan semula helaian tadi! Dan entah bagaimana, segala-galanya tiba-tiba mudah diingati & difahami - 'Doa anak!', kata hubby. Alhamdulillah, berjaya juga tamatkan pengajian walaupun mengambil masa agak lama (2 anak lahir sepanjang pengajian). Anak-anak adalah permata ... mereka buat kita menangis marah, mereka jugalah yang akan buat kita menangis gembira!

Sehingga bertemu lagi ... selamat pagi semua!

Cwynire

Author

Co-founder of Carwin Solutions and My1STOP Virtual Shopping Mall @ http://www.my1stop.com.my

1 comment:

  1. rsenye mcm ayie sorg je yg cmnt..
    emm..
    seyes ayie agk sebak bce topik ni..
    entah knape nth bleh sebak,..
    btul2 trsntuh ayie bce..
    tu la tugas seorg pekerja,
    ibu,cikgu,isteri,anak yg akak
    lalui..
    semoga akak n abg success dlm
    idop ni..

    adioss..

    ReplyDelete