Malu Berniaga

by Sunday, August 07, 2011 0 comments

Saya terpanggil untuk membicarakan hal 'malu berniaga' kerana teringat bagaimana segannya saya ketika mula-mula ingin berniaga dulu tatkala ingin menjual kepada bukan sahaja orang yang tidak saya kenali, malah rakan dan ahli keluarga. Meskipun umumnya kelompok yang meminati alam perniagaan dilihat sebagai extrovert, ramah, tetapi hakikatnya, alam perniagaan juga turut diceburi oleh mereka yang tidak begitu ramah, tetapi meminati keusahawanan. Wajarkah seseorang itu digelar usahawan jika malu berniaga?

Bagi saya, usahawan tidak semestinya merujuk kepada individu yang ramah-tamah dan mempunyai skil daya pujuk yang tinggi, sebaliknya merujuk kepada karekteristik tertentu.

"Entrepreneurs, online or not, should not be merely a business person who makes money, but moreover a creative, innovative, open to change, highly motivated individual who can create a new business or venture, grow it and drive it to success."

- baca artikel untuk definisi Usahawan: Online Business for WAHMs – Be Duped or Be Wealthy



Namun begitu, bersifat malu tidak bertempat itu boleh menjadi satu kekurangan kepada seseorang usahawan, terutama di peringkat perniagaan masih kecil dan terpaksa pula membuat pemasaran sendiri kerana boleh keciciran peluang di hadapan mata. Walaupun kita bergantung kepada pemasaran secara online, terlalu malu masih boleh menjejaskan proses kecapaian produk atau perkhidmatan kita kepada prospek kita. Perlu diingat, berniaga tidak semestinya merujuk kepada menjual produk kepada pengguna-akhir sahaja, tetapi juga 'menjual' kepada potensi rakan niaga dan pelabur. Terlalu malu boleh menyebabkan kurang interaksi dengan jaringan usahawan yang lain, yang boleh merencat perkembangan perniagaan kita.


Mengapa malu berniaga?

Saya percaya, punca malu berniaga boleh dikaitkan dengan persepsi masyarakat itu sendiri yang sama ada memandang rendah kepada golongan berniaga (dengan kerap merujuk kepada perniagaan berskala kecil atau merujuk kepada kisah-kisah perniagaan yang gagal), atau cenderung menganggap usaha peniaga untuk menjual itu sebagai tindakan menagih wang mereka. Adakah apabila seseorang itu cuba menjual sesuatu kepada kita, kita pantas mengatakan pada diri sendiri "Adalah tu nak kita beli tu!".


Persepsi perlu diperbetulkan ...

Seharusnya kita ingat bahawa Rasulullah S.A.W. sendiri berniaga, maka berniaga itu sendiri satu sunnah dan merupakan cabang rezeki yang cukup baik, kerana menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah dan keperluan-keperluan orang lain. Perniagaan tidak semuanya terus-terus besar, malah banyak yang terpaksa bermula kecil, namun tidak wajar bagi kita untuk memperkecilkan yang kecil sedangkan jika diberi peluang, insyaAllah menjadi sebesar perniagaan korporat yang tidak pula kita perlekehkan. Peniaga yang kita lihat hari ini menjaja-jaja perniagaan mereka seperti 'menagih wang kita' itu, mungkin esok menjadi CEO syarikat multinasional yang kemudiannya pula kita katakan wajar dicontohi.

Dulu memang saya agak segan mewar-warkan perniagaan saya tetapi setelah saya memahami bahawa apa yang saya lakukan adalah dengan niat menawarkan penyelesaian kepada orang lain, maka saya berjaya kikis sifat malu tidak bertempat tersebut, walau masih tidak se-extrovert mana :).


'Terlalu mencuba' ...

Usahawan juga seeloknya mengatur strategi pemasaran, sama ada pemasaran dilakukan sendiri atau oleh kakitangan pemasaran kita, agar tidak menyebabkan kacau-ganggu yang menjejaskan kredibiliti sendiri. Pemasaran lebih intensif mengikut pasaran sasaran juga boleh mengelakkan daripada menjelikkan orang lain. Kita tidak tahu jika ada potensi pelanggan di dalam kelompok diluar prospek yang kita jangkakan, jadi elok juga membuat pemasaran kepada umum, tetapi biarlah lebih santai.

Yang penting, kita jalankan perniagaan yang halal dari segi apa yang kita tawarkan dan bagaimana kita menawarkannya, demi mencari keredhaan Allah S.W.T. Selagi kita menawarkan penyelesaian yang baik kepada masyarakat, sama ada produk atau perkhidmatan, kita tidak sepatutnya berasa malu. Malah, kita sepatutnya perlu pergi lebih jauh ke hadapan agar ia menjadi contoh untuk diikuti oleh mereka yang berniat untuk mengamalkan sunnah Rasulullah S.W.T. ini. Saranan untuk diri saya sendiri :)

Sekian, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak!

Cwynire

Author

Co-founder of Carwin Solutions and My1STOP Virtual Shopping Mall @ http://www.my1stop.com.my

0 comments:

Post a Comment